“Ustaz, berapa kali saya boleh SMS tunang
saya?” Tanya seorang pelajar.
“Berapa kali? Enta nak dalil Quran
dan hadis ke tentang jawapan berapa kali ana nak beri?” saya sedikit terlopong.
Dalam ikhtiar untuk menjaga
batas-batas agama, kerana seorang tunang
dengan tunangnya masih tetap warga asing yang ajnabi, maka muncul banyak
persoalan yang pelik-pelik.
“Bukankah Nabi s.a.w. sudah mengajar
kita bahawa hati ini tenang dengan kebaikan, dan gelisah terhadap dosa dan
kejahatan,” saya menyambung peringatan.
Mintalah fatwa dari hati, disamping
hati itu juga sentiasa berada dalam nada sedar yang baik terhadap Allah s.w.t..
Antara hikmah bertunang ialah untuk
saling belajar mengenal, insan baru yang bakal menjadi teman seumur hidup,
tetapi proses kenal-mengenal itu masih dalam keadaan kedua-duanya adalah
pasangan yang belum ada ikatan yang menghalalkan pergaulan. Maka, bijaksanalah
dalam mengatur.
SMS, e-mel, telefon... tanya khabar,
bersederhanalah.
Apabila hati rasa tidak kena,
semacam agak berlebihan dan tersasar daripada maksud-maksud yang maaruf,
belajar tekan brek dan kawal stering pergaulan. Itu sahaja.
Ketika menjelang perkahwinan, banyak
perkara yang harus dibincangkan. Maka berbincanglah dan kemaskan sistem kawalan
diri.
Akhirnya, jangan lupa untuk
berbincang secara baik apakah expectation masing-masing menjelang hari
pernikahan.
Berbincang soal syariatullah,
berbincang soal sunatullah.
Pertunangan juga adalah suatu
komitmen yang belum pasti. Ia mungkin berakhir dengan perkahwinan, boleh juga
tamat pada kesudahan yang tidak diharapkan... na’uzubillah.
Ulama’ juga menjelaskan bahawa
antara hikmah Islam menggesa pertunangan itu tidak diheboh-hebohkan ialah
kerana menjaga nikmat ini daripada dirosakkan oleh hasad manusia yang berniat
tidak baik. Kerahsiaan pertunangan ini
juga menjadikan kita terkawal daripada berkelakuan seperti sudah bersuami
isteri serta masih asing ,dan sedang berada di medan ujian mengawal diri
disamping bijak mengatur komunikasi dengan pasangan yang bakal menemani hidup...
selama-lamanya nanti.
Dalam tempoh ini juga, janganlah
sampai tidak berhubung langsung. Kononnya hendak menjaga syara'. Hendak menjaga
diri dari zina hati kononnya. Berhubunglah. Tetapi dengan batas. Pastikan
penjaga tahu, ibu bapa tahu kita berhubung. Dan kita seharusnya lebih
memperbanyakkan berhubung dengan penjaganya, keluarganya... berbanding
berhubung dengan tunang kita ketika itu. Cuba eratkan hubungan kekeluargaan, perdalamkan
ta'aruf dengan banyak bertanya kepada kedua ibu bapanya dan juga ahli
keluarganya yang lain. Dalam masa yang sama, berusaha membina karier,
peribadi diri, kematangan, dan kefahaman agama. Dan paling penting, berdoa
kepada Allah s.w.t untuk memberikan yang terbaik, supaya hubungan pertunangan
itu diredhaiNya sehingga ke alam perkahwinan... insyaAllah.
Di jalan cinta para
pejuang, yang terpenting bukanlah seberapa banyak engkau tahu pasal dia,
tetapi cukup engkau mengetahui yang memang
bermakna bagimu. Dan bahawa Allah selalu bersamamu.
Kecocokan jiwa memang tidak
selalu sama rumusnya...
Ada dua sungai besar yang
bertemu dan bermuara di laut yang satu; itu kesamaan...
Ada panas dan dingin
bertemu untuk mencapai kehangatan; itu keseimbangan...
Ada hujan lebat berjumpa
tanah subur, lalu menumbuhkan taman; itu kegenapan....
Tapi satu hal tetap sama...
mereka cocok karena bersama bertasbih memuji Allah,
seperti segala sesuatu
yang ada di langit dan bumi, ruku’ pada keagunganNya.
NHAMR
Semanggol, Perak.
Sumber Rujukan:
Sebelum Aku Bernikah (Hilal Asyraf)
Di Jalan Cinta Para Pejuang (Salim
A. Fillah)
Aku Terima Nikahnya (Ustaz Hasrizal
Abdul Jamil)
No comments:
Post a Comment