Hari raya hari kemenangan
Hari kesyukuran dilimpahi kemuliaan
Di lipatan seni mehnah ilahi
Ada maksud murni yang lebih hakiki.
Pada nafsu yang dilentur lapar dahaga
Pada fikiran disinar wahyu & sabda
Pada hati bersih di solat tarawih
Apakah semuanya telah dimiliki?
Puasa mengajar erti ketabahan
Menghadap ujian berlandaskan iman
Puasa perisai yang sangat maknawi
Penyingkap hijab antara hamba dengan ilahi.
Puasa sempurna menahan rohani & rasa
Puasa sederhana menahan indera & juga anggota
Puasa biasa hanya melawan lapar & dahaga
Lalu dimanakah puasa kita?
Adakah masih ditahap lama?
Lalu muhasabah dihujung ramadhan
Sudahkah terbangun jiwa teguh & kukuh
Atau kolam jiwa masih tercemar keruh
Bersembilu dosa duri angkara.
Ketika bertahmid,bertakbir,bertasbih
Terasakah kita hamba ilahi?
Yang hanya mampu mengukir tadbir
Sedangkan padaNYA segala takdir.
Pahrol Mohamad Juoi
Telah berlalu daripada kita bulan yang mulia dan penuh barakah, bulan dibuka segala keampunan dan dihapuskan segala kesalahan.
Telah menanglah orang-orang yang menang di dalamnya dan telah kalahlah orang-orang yang kalah di dalamnya. Maka di sinilah kita berdukacita kerana kita akan meninggalkannya dan belum tentu bertemu semula dengannya.
Semoga kita bersama-sama diterima amalnya oleh Allah SWT, dan benar-benar mampu menjadi hamba yg lebih baik lagi selepas Ramadhan kali ini.
No comments:
Post a Comment